Keluarga besar yang punya 20 orang anak


Memilik anak seramai 20 orang? Tak mungkin akan wujud keluarga sebegitu besar dalam dunia hari ini khususnya di Malaysia. Kos hidup yang tinggi antara menjadi alasan ibubapa menolak untuk memiliki anak yang ramai selain bimbang anak-anak kurang mendapat kasih sayang.

"Kami juga hidup susah dan tak pernah senang sampailah hari ini. Tetapi dengan adanya anak seramai 22 orang, saya amat bahagia melihat mereka membesar walaupun terpaksa mengikat perut ketika membesarkan mereka dulu.

"Tak payahlah tanya berapa banyak makanan yang perlu disediakan setiap hari ketika anak-anak saya masih kecil tetapi selama mereka membesar, belum pernahlah kami sekeluarga tidak makan.

"Mungkin makanan yang kami hidangkan tidak semewah keluarga lain yang mampu namun anak-anak saya tetapi berselera setiap kali makanan dihidangkan,” kata Mohd Nor Sair dari Kampung Rinching Hilir, Semenyih, Selangor.

Lelaki berusia 75 tahun berkahwin sebanyak dua kali dan melalui perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan empat anak sebelum mereka bercerai.

Tanpa mengambil masa lama menduda, Mohd Nor menikahi Samsiah Sharif dan hasil perkahwinan selama 45 tahun itu, pasangan ini dikurniakan 18 anak dan dua daripadanya telah meninggal dunia.

Bekas tentera yang berkhidmat selama 10 tahun ini berkata, pelbagai kerja telah dilakukan ketika membesarkan anak-anaknya yang terdiri daripada 8 perempuan dan selebihnya lelaki.

"Kesusahan hidup saya hanya isteri dan anak-anak sahaja yang tahu dan saya amat bersyukur kerana anak-anak saya tidak pernah meminta sesuatu yang di luar kemampuan saya.

"Apa sahaja yang kami sediakan untuk hidangan, mereka akan makan dengan penuh berselera dan itulah kebahagiaan saya sebenarnya walaupun hidup susah," ujarnya.

Cerita Mohd Nor lagi, kesusahan yang ditanggung bukan alasan untuk memilik anak seramai itu.

"Rezeki ada pada Allah dan saya yakin, setiap anak yang lahir ke dunia ini pasti ada rezeki yang telah ditentukan. Bagi saya, asalkan anak-anak saya sihat dan tidak kelaparan sudah cukup memadai.

"Ramai suami isteri terutama hari ini takut nak beranak ramai sebab faktor ekonomi tetapi bagi saya, jangan menolak rezeki yang diberi Allah. Anak-anak itu adalah rezeki yang tidak ternilai harganya," ujarnya.

Anak sulung Mohd Nor kini berusia 44 tahun manakalah yang bongsu berusia 21 tahun. Hampir semua telah berumahtangga dan hidup dengan keluarga masing-masing.

"Soal mereka membantu saya tidak penting kerana saya faham mereka juga ada keluarga dan bukan hidup senang.

"Apa yang saya mahu lihat adalah mereka bahagia menjalani kehidupan berkeluarga dan sentiasa rapat dengan adik-beradik yang lain," katanya.

Sama seperti Mohd Nor, isterinya Samsiah yang berada di sisinya ketika ditemubual wartawan berkata, selagi ada kudrat, dia tidak mahu menyusahkan anak-anak.

"Kami dah biasa hidup susah dan kalau boleh, saya akan mencari duit sendiri untuk sara hidup kami suami isteri bersama anak-anak yang masih bujang.

"Memang keadaan rumah kami terlalu uzur tetapi setiap kali melihat wajah anak-anak datang bersama keluarga masing-masing, hati saya amat lapang," katanya.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana jika semua anak-anaknya balik berkumpul seperti pada hari raya, Samsiah berkata, anak-anaknya tahu di mana hendak tidur dan tidak menjadi masalah untuk bersama-sama dalam rumah pusakanya itu.

"Meriahnya susah hendak digambarkan jika semua anak berkumpul pada hari raya. Itu belum termasuk menantu dan cucu. Biarpun terpaksa bersempit, namun keseronokan bersama itulah yang tidak boleh diluahkan kepada orang ramai," katanya.

No comments

Powered by Blogger.