Gadis hidapi barah tulang ditimpa malang berganda bila terpaska duduk dalam khemah


Sejak menghidap penyakit barah tulang beberapa tahun lalu, masa depan seorang gadis dekat sini malap apabila penyakitnya semakin serius dan menyebabkannya lumpuh sejak setahun lalu.

Putri Nur Aireen Mazlan, 23, menghidap barah tulang sejak berusia 16 tahun dan kini perlu menggunakan kerusi roda untuk ke mana-mana.

Lebih malang lagi, dia dan keluarganya kini terpaksa tinggal di dalam khemah di Kampung Sador, Pantai Senak sumbangan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) di atas tanah penduduk yang bersimpati selepas mereka gagal melunaskan sewa rumah sejak setahun lalu.

Kesulitan hidup yang dihadapi menyebabkan mereka terlalu jauh untuk menikmati kemudahan dan keselesaan seperti orang lain memandangkan pondok mereka hanya berbumbung kanvas, berlantaikan tanah dan dinding daripada bahan- bahan terpakai.

Tiada bilik mandi yang selesa apatah lagi pancuran air panas untuk menghangatkan kedinginan badan, sebaliknya bilik air mereka hanya dilingkungi bahan terpakai untuk mengelak daripada pandangan umum semata-mata.

Bapanya, Mazlan Taib, 53, berkata, pendapatan keluarga kini bergantung sepenuhnya terhadap perniagaan kecil- kecilan yang diusahakan isterinya, Zainab Che Long, 46, yang berniaga mi celup, mi rebus dan minuman.

"Pendapatan kami kini amat sedikit mungkin kerana orang tak tertarik dengan kedai kami yang usang, maklumlah ia dibina daripada bahan terpakai. Nak dapat RM20 sehari pun susah.


"Saya sendiri pun tak boleh buat kerja berat kerana masalah kesihatan dan berdepan risiko bengkak hati," katanya.

Katanya, pendapatannya yang tidak menentu menyukarkan dia menyediakan kos rawatan anaknya yang semakin serius apabila tulang kedua-dua belah kaki hingga paha menjadi rapuh dan perlu dipotong.

Menurutnya, kos rawatan anak sulungnya itu mencecah RM2,500 sebulan dan dia bimbang tidak dapat membawa Puteri Nur Aireen mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya hujung bulan ini.

Dalam pada itu, kata Mazlan, walaupun kehidupan mereka sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, namun dia tetap memastikan anak-anaknya tidak tercicir dalam pelajaran.

Katanya, empat anaknya masih di bangku sekolah ialah Mohd Shahrul Ikbal, 14; Nur Ain Sallyken, 11; Nur Dalia, 8; dan Mohd Fareez Haikal, 6.

Manakala tiga lagi anaknya yang berada di institusi pengajian tinggi iaitu Nur Azleen, 22, (UiTM Arau); Nur Azerah, 19, (Kolej Saito, Petaling Jaya); dan Muhd Nasrullah, 16, (kolej di Kuala Lumpur).

Katanya, nasib Puteri Nur Aireen tidak seperti adik- adiknya yang lain kerana dia tidak berpeluang melanjutkan pelajaran walaupun mendapat tawaran ke Universiti Zainal Abidin (UniSZA), di Terengganu.

Bagaimanapun katanya, fokus utama dia kini adalah untuk mendapatkan ihsan orang ramai bagi membolehkan Putri Nur Ain menjalani rawatan seterusnya.

"Saya memohon sumbangan ramai yang boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Putri Nur Aireen 0310-3290-0009-3500 atau menghubunginya di talian 019-9433637.

"Saya amat bersyukur kerana pemimpin setempat turut tampil membantu dan kami turut menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sejak dua bulan lepas," katanya.

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - 

Kesempitan hidup memaksa sebuah keluarga besar terdiri daripada 10 beranak di Kampung Pantai Senok, di sini berteduh di dalam khemah dan sebuah bangsal kecil sejak Mac lalu.

Lebih menyayat hati, selain terpaksa bersesak dalam bangsal dan khemah yang sempit, dua daripada mereka mengalami sakit kronik.

Ketua keluarga, Mazlan Taib, 53, menghidap penyakit Hepatitis C dan tidak mampu lagi melakukan kerja berat manakala Puteri Nur Aireen, 23, anak sulung Mazlan dan isterinya, Zainab Che Long, 46, menghidap kanser tulang dan darah pada Tahap 4 dan kini hanya mampu terlantar di katil.

Tinjauan Bernama di bangsal berkenaan mendapati keadaannya sangat tidak selesa dan panas, langsung tidak sesuai untuk menempatkan pesakit, manakala khemah pula dihuni oleh anak pasangan itu yang berusia antara enam dan 16 tahun.

Ketika kunjungan Bernama, Mazlan tiada di kediaman itu kerana menjalani pemeriksaan di klinik berdekatan.

Zainab ketika ditemui berkata keluarganya sebelum ini tinggal di sebuah rumah kedai di kampung sama dengan sewa bulanan RM300.

Katanya mereka terpaksa keluar apabila pemiliknya mahu menaikkan sewa kepada RM600 sebulan.

“Sebenarnya pemilik rumah kedai itu agak baik kerana membenarkan keluarga saya tinggal di rumah itu di samping berniaga makanan secara kecil-kecilan di situ. Cuma kami memang tidak mampu lagi untuk membayar sewa.

“Selepas keluar dari rumah itu kami tiada arah tujuan dan meminta kebenaran untuk membina khemah sementara di tanah milik penduduk di sini. Sehingga sekarang, kami sekeluarga masih lagi berteduh di bawah bangsal dan khemah yang didermakan oleh Persatuan Orang Kota Bharu (POKB),” katanya.

Menurut Zainab, untuk menyara hidup, dia menjual 'mee celup' dengan dibantu anak-anak yang masih bersekolah, dan menerima bantuan bulanan sebanyak RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selain sumbangan penduduk setempat.

“Setakat ini ada pihak yang cuba membantu termasuk memberitahu akan menyediakan sebuah rumah di Chiku, Gua Musang dan Manik Urai, Kuala Krai di tanah milik kerajaan negeri tetapi sehingga kini belum ada surat 'hitam putih' mengenai perkara itu.

“Saya sudah tidak kisah rumah macam mana sekalipun asalkan ia selesa berbanding dengan khemah yang didiami sekarang...tambah lagi, anak sulung kini terlantar di atas katil,” katanya.

Sementara itu, Puteri Nur Aireen berkata dia amat sedih kerana tidak mampu lagi menjalankan tanggungjawab sebagai anak bagi membantu keluarga.

“Saya memperoleh keputusan agak baik dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), memang saya bercita-cita melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sebelum ini.”

Bagaimanapun, beliau berkata hasratnya itu terbantut kerana kesempitan hidup dan niatnya terpaksa ditangguhkan untuk memberi peluang kepada adiknya, Nur Azlee, 22, melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Arau, Perlis.

“Nasib malang menimpa apabila saya disahkan menghidap kanser tulang awal tahun ini. Bukan setakat saya tidak lagi mampu membantu keluarga, kini saya pula yang menjadi beban kepada mereka,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.