Warga emas lebih suka tinggal bawah jambatan sejak setahun lalu


Biarpun sudah berusia 78 tahun namun seorang lelaki yang hidup sebatang ketara lebih 'suka' tinggal di bawah jambatan di Kampung Sungai Durian, dekat sini, biarpun beberapa kali dipujuk untuk berpindah ke kediaman yang lebih selesa.

Malah Abdullah Mat Jusoh yang tidak pernah berkahwin sepanjang hayatnya tidak mahu digelar sebagai gelandangan.

Dia yang menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dipujuk beberapa kali oleh pegawai jabatan itu untuk berpindah ke rumah orang tua tetapi menolaknya.

"Sekarang sudah lebih setahun tidur bangun di atas pangkin di bawah jambatan walaupun pernah diajak oleh adik serta anak-anak saudara untuk tinggal di tempat yang lebih selesa.

"Dia tetap menolak dan menyatakan tidak mahu menyusahkan orang, dia tak mahu pergi ke rumah kebajikan sebab dia hendak di tinggal di kawasan kampung ini sahaja" kata seorang penduduk yang enggan dikenali ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini, Abdullah tinggal di sebuah pondok yang terletak dalam sebuah kebun getah berdekatan namun disebabkan strukturnya telah runtuh, dia berpindah ke bawah jambatan tersebut.

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Tidak sanggup membiarkan seorang warga emas terus hidup seperti gelandangan di bawah jambatan dekat Kampung Sungai Durian, Selising, di sini, badan bukan kerajaan (NGO), The Third Force menyediakan tabung khas untuk membantunya.

Dana daripada tabung itu akan digunakan untuk membina rumah warga emas berkenaan, Abdullah Mat Jusoh, 78.

Pengasas The Third Force, Raja Shamri Raja Husin berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai Abdullah yang tinggal berseorangan di bawah jambatan dengan pangkin dibina sebagai tempat tidurnya.

Dia pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai dua anak yang meninggal dunia ketika kecil menghuni pondok usang dekat kebun getah dekat kampung berkenaan.

"Abdullah menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selepas penduduk kampung yang prihatin membuat permohonan bagi pihaknya.

"Dia ada seorang adik namun difahamkan tidak mahu tinggal dengan saudara mara atau ahli keluarga walau sudah diajak berkali-kali kerana tidak mahu menyusahkan orang.


"Untuk itu, kita sedang usahakan untuk membina sebuah rumah untuknya supaya dia dapat menghabiskan sisa usia dengan lebih selesa. Tabung untuk dana rumah ini juga sudah dilancarkan," katanya.

Raja Shamri berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan JKM Pasir Puteh untuk pengumpulan maklumat mengenai Abdullah.

Beliau juga memberitahu Abdullah ditawarkan rumah orang tua kelolaan JKM namun dia menolaknya.

"Setakat ini segala hal berkaitan makan minumnya atas ihsan ahli keluarga dan masyarakat setempat selain bantuan JKM," katanya.

Kisah Abdullah viral di laman sosial sebelum ini dan meraih simpati masyarakat umum.


No comments

Powered by Blogger.