Bapa dipercayai bunuh anak lembam


Seorang bapa berusia 46 tahun ditahan polis selepas dipercayai membunuh anak sulungnya yang kurang upaya di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Terusan, Simpang Lima, Parit Buntar, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian Supritenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun itu mengalami empat kesan jerutan di bahagian leher dengan keadaan muka kebiruan dan pendarahan di kedua-dua mata putihnya.

"Tiada kesan kecederaan pada lain-lain bahagian badan mangsa. Hasil bedah siasat di Hospital Parit Buntar mendapati berlaku keretakan kepada rawan tirod dan sebab kematian adalah lemas akibat jerutan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek yang merupakan pesara tentera itu telah mengejutkan mangsa yang sedang tidur di tingkat atas rumah mereka pada pukul 3 pagi dan membawanya turun.

Suspek kemudian naik semula ke tingkat atas rumah untuk mengejutkan semua anaknya yang sedang tidur dan meminta maaf, katanya.

Omar Bakhtiar berkata pada pukul 7 pagi, adik lelaki mangsa bangun tidur dan menuju ke bilik suspek di tingkat bawah.

"Adik lelaki itu mendapati mangsa sedang tidur di atas katil bersama bapa mereka. Dia juga telah ternampak leher mangsa berlilit dengan tali getah pengikat dan mendapati suspek juga tidak sedarkan diri," katanya.

Si adik terus membuka ikatan tali getah pada leher mangsa dan mendapati mangsa tidak bergerak sebelum mengejutkan semua anggota keluarganya untuk memaklumkan keadaan mangsa dan suspek, katanya.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala suspek yang tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan.

Pada tengah hari tadi, suspek telah sedarkan diri dan ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

Katanya keadaan bilik tidur suspek adalah kemas, tidak berselerak dan tiada kesan pergelutan di atas katil.

--------------------------------------------------------------------------------

Seorang bapa ditahan kerana dipercayai membunuh anak sulungnya yang merupakan remaja lembam berusia 21 tahun di Simpang Lima, Parit Buntar, dekat sini hari ini.

Ketika ditahan di rumahnya di Jalan Terusan di sini kira-kira pukul 7 pagi, suspek yang berusia 46 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Hasil pemeriksaan menemukan mayat mangsa, Ahmad Solehin Abdul Harif di atas katil di tingkat bawah rumah itu, dalam keadaan lehernya dililit dengan tali getah pengikat.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Omar Bakhtiar Yaakob berkata, suspek sebelum itu dikatakan telah mengejutkan mangsa yang tidur di tingkat atas rumahnya kira-kira pukul 3 pagi dan membawanya ke bawah.

Katanya, suspek kemudian telah naik semula ke tingkat atas dan mengejutkan anak-anaknya yang lain serta meminta maaf kepada mereka sebelum turun semula.

“Setelah pagi, adik lelaki mangsa bangun dari tidur dan terkejut mendapati mangsa terbaring dalam keadaan terlentang di atas katil bersama suspek.

“Dia cuba mengejutkan kedua-duanya namun mereka tidak bergerak lalu menghubungi pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini.

Omar Bakhtiar berkata, pembantu perubatan yang dipanggil kemudian mengesahkan yang mangsa telah meninggal dunia manakala suspek dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut.

Jelas beliau, sehingga kini polis masih gagal mendapatkan kerjasama daripada suspek berhubung penglibatannya meskipun dia telah sedar kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat empat kesan jerutan di bahagian leher mangsa dan sebab kematiannya adalah lemas,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya akan memohon tahanan reman terhadap suspek esok bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

--------------------------------------------------------------------------------

Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) ditemui maut dengan kesan jerutan dileher di sebelah bapanya yang tidak sedarkan diri di Kampung Jalan Terusan, Simpang Lima, semalam.

Turut ditemui seutas tali getah digunakan untuk mengikat barang berada di sisi si remaja itu, dipercayai digunakan sebagai senjata membunuh.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa, Ahmad Solehin Abdul Harif, 21, anak sulung dari enam beradik ditemui seorang ahli keluarga dalam keadaan terbaring di atas katil bersama bapanya.

Adik mangsa iaitu anak ketiga dalam keluarga mengesyaki sesuatu buruk berlaku apabila melihat pintu bilik tidur Solehin terbuka sebelum menemui abang dan bapanya dalam keadaan tidak sedar diri.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan segera dilakukan sebaik menerima laporan kejadian itu dan menemui mangsa terbaring di sebelah bapanya tanpa berbaju.

Menurutnya, polis turut menemui seutas tali getah bercangkuk di sisi mangsa dan siasatan lanjut turut menemui kesan jerutan di leher mangsa.

“Susulan kejadian itu, bapa mangsa yang difahamkan mengalami masalah tekanan jiwa, ditahan untuk siasatan lanjut dan kemungkinan akan dihantar ke Hospital Taiping untuk menjalani pemeriksaan kesihatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan pasukan paramedik Hospital Parit Buntar, mangsa telah disahkan meninggal dunia pada awal pagi iaitu antara jam 4 hingga 6 pagi.

Ditanya mengenai punca kejadian, Omar Bakhtiar menegaskan pihaknya masih menunggu laporan penuh dari Jabatan Forensik serta laporan bedah siasat dari Hospital Parit Buntar.

“Siasatan ke atas kediaman mangsa juga tidak menemui tanda-tanda rumah itu dipecah masuk dan polis juga akan menyiasat perkara ini dari semua sudut.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat,” katanya.

Bagaimanapun, Sinar Harian gagal mendapatkan keterangan ahli keluarga mangsa kerana mereka masih dalam keadaan trauma.

--------------------------------------------------------------------------------




9 Disember 2014

No comments

Powered by Blogger.