Sekeluarga merempat kerana syarikat yang dipajak tanah telah muflis
Sebuah keluarga di sini terpaksa membina sebuah pondok kecil untuk berteduh selepas mahkamah memerintahkan mereka keluar dari tanah pusaka mereka sejak tujuh bulan lalu.
Kini keluarga yang tinggal di Jalan Benteng Kiri Lama itu bagaikan merempat di kampung halaman sendiri apabila terpaksa membina sebuah pondok kecil di tanah rizab kerajaan berhadapan tanah pusaka milik ibunya.
Sobani Kasau, 50, berkata, kehidupannya sekeluarga berubah selepas Syawal tahun lalu apabila wakil daripada mahkamah hadir ke rumah dan memberitahu satu-satunya tanah pusaka tinggalan ibu kandungnya itu telah dipajak oleh sebuah syarikat pemaju yang telah muflis.
“Tetapi saya tidak dapat mengambil semula tanah tersebut kerana kekangan kewangan yang dihadapi,” katanya.
Menurutnya, dia terpaksa membesarkan anak mereka yang masih bersekolah di pondok yang dibina menggunakan sisa kayu dan zink dari rumah pusaka tinggalan tersebut, serta tidak mempunyai bekalan elektrik dan air.
Sobani yang bekerja sebagai seorang tukang membuat rumah sedih melihat persekitaran yang terpaksa dilalui isteri, Salasiah Salleh, 36, dan empat anaknya yang berusia antara lima hingga 14 tahun.
“Kerja saya tidak menentu, jika ada rumah rosak maka adalah rezeki untuk saya. Isteri saya turut membantu dengan mengambil upah menjual sayur di Pasar Tani Kapar.
“Bangun sahaja dari tidur, apa yang kami fikirkan adalah bagaimana mahu mendapatkan rezeki yang halal untuk memberi makan kepada anak-anak,” katanya.
Menurutnya, dia terpaksa memohon simpati jiran untuk menarik bekalan elektrik hanya pada waktu malam selain menggunakan tadahan air hujan untuk tujuan mandi, memasak dan membasuh.
“Urusan untuk menguruskan kemasukan bekalan elektrik dan air ke pondok tidak diluluskan kerana ia dibina di tanah rizab milik kerajaan.
“Saya pernah menariknya sendiri dari rumah pusaka, tetapi bekalan tersebut sering terputus,” katanya.
Sebelum ini katanya, dia pernah menerima bantuan bulanan daripada Lembaga Zakat Selangor (LSZ). tetapi setelah merasakan dirinya sedikit berkemampuan, Sobani menolak untuk menerimanya lagi.
“Saya pernah menolak bantuan daripada pusat zakat kerana saya sedar ramai lagi yang sangat memerlukan bantuan tersebut, ketika itu saya sudah mempunyai sedikit kekuatan dan rasa mampu untuk menanggung keluarga sendiri.
“Tetapi semakin lama hidup kami semakin tidak menentu dan saya ingin memohon semula bantuan tersebut demi anak-anak,” katanya.
16/05/2013

Leave a Comment