Gunakan wang pencen suami untuk tolong orang miskin
Seorang ibu tunggal sanggup menggunakan wang pencen arwah suaminya bagi membantu penduduk miskin di sekitar kampung Padang Halban, di sini.
Nik Shamsiah Nik Ismail, 55, berkata dia berbuat demikian bagi meneruskan tugas dan amanah arwah suaminya supaya terus membantu mereka yang memerlukan.
Katanya, suaminya ketika masih hidup merupakan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pengkalan Chepa dan sering membantu mereka yang memerlukan.
“Sudah setahun lebih suami saya, Dr Mustapa Daud meninggal dunia dan sejak dari itu, saya meneruskan kerja kebajikan yang dilakukan arwah ketika masih hidup.
“Wang pencen yang saya perolehi sebanyak RM1,550 sebulan itu saya gunakan untuk menyediakan bantuan barangan keperluan seperti beras dan bantuan persekolahan kepada mereka yang memerlukan.
“Setiap bulan, seramai 100 orang akan menerima bantuan tersebut dan saya tidak kisah berhabis wang ringgit demi sebuah amanah,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post.
Beliau berkata, keluarga miskin di bawah jagaannya kini sudah mencecah 68 keluarga.
Katanya, dia sudah memperuntukkan kos tertentu setiap bulan bagi membantu keluarga terbabit.
“Saya wajibkan diri saya untuk membantu 68 keluarga terbabit kerana mereka betul-betul susah dan amat memerlukan bantuan.
Namun begitu katanya, sejak Jun lalu sumber kewangannya semakin berkurang dan kemampuannya untuk terus menghulurkan bantuan mulai terbatas.
Katanya, dia mula diserang penyakit kencing manis kronik dan membuatkannya sering berulang-alik ke hospital.
“Disebabkan itu, sumber kewangan saya semakin berkurang dan saya pula terpaksa minta bantuan orang lain bagi membantu mereka yang memerlukan.
“Saya berterima kasih kepada Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusope kerana membantu saya meneruskan khidmat membantu mereka yang memerlukan.
17/09/2015
Leave a Comment