Suami isteri merempat
Difahamkan, pasangan itu tidak lagi muncul sejak laporan akhbar memaparkan kisah mereka berdua yang merempat akibat dihalau keluar dari rumah sewa di Kampung Aman Timur, Pokok Sena, di sini.
Sebelum ini, wanita orang kurang upaya (OKU) dilaporkan merayu supaya mendapatkan tempat tinggal setelah dia dan suaminya, Zainudin Zainun, 49, dihalau dari rumah sewa mereka akibat gagal membayar sewa.
Sazlina Salleh, 38, yang tidak lagi mampu melihat berkata, mereka bukan sahaja tidak memiliki rumah untuk berteduh, sebaliknya turut bergantung kepada bantuan orang awam semata-mata mengisi perut.
Difahamkan, suaminya pula terpaksa berhenti kerja kerana ingin menjaga isterinya, manakala bantuan RM400 daripada Jabatan Zakat dan Bantuan OKU Tak Bekerja JKM sebanyak RM150 tidak mencukupi.
Menurut pekerja am, Sumathi Ganesan, 37, dia tidak lagi melihat kelibat pasangan tersebut sejak dua hari kebelakangan ini setelah masalah dialami mereka terpampang di dada akhbar.
“Kebiasaannya, mereka ada sahaja, namun sekarang saya tak tahu ke mana mereka menghilang. Ada kemungkinan sudah dibantu, mahupun dibawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diberi perlindungan.
“Agak lama, mereka tinggal di sini. Lebih kasihan, pasangan terbabit tidur di merata tempat. Ada kalanya di kaki lima, sebelah tandas mahupun tangga. Waktu siang, mereka duduk di bangku stesen bas ini,” katanya.
Katanya, dia sememangnya tersentuh hati memikirkan keadaan dialami mereka yang terpaksa menjadikan stesen bas sebagai rumah, malah mengharapkan nasib malang dialami pasangan mendapat pembelaan sewajarnya.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di sekitar stesen bas termasuk kaki lima dan tangga juga gagal menemui pasangan terbabit.
10/1/2014

Leave a Comment