Suami isteri miskin rayu bantuan rawat 3 anak yang sakit mental


Nasib pasangan suami isteri, Rahmat Man, 40, dan Sanisah Kassim, 36, dari Kampung Bintawa Tengah , Kuching , Sarawak , ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

Bukan sahaja dihimpit kemiskinan, tiga daripada lima anak mereka mengalami masalah kecacatan mental.

Ketiga-tiga anak mereka iaitu Hamzah, 17, Khuzaimah, 14, dan Mohd. Shahrizan, 12, disahkan mempunyai masalah itu sejak kecil.

Rahmat yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, anak-anaknya bukan sahaja mempunyai masalah komunikasi tetapi turut menghadapi masalah daya ingatan.

Bagaimanapun, katanya, dia bersama isteri bersyukur kerana dua lagi anak mereka, Mohd Zulfikar, 20, dan Nurul Ain, 13, membesar sebagai individu normal.

“Disebabkan penyakit dialami, kami perlu menjaga tiga anak ini dengan penuh perhatian kerana mereka tidak boleh mendengar.

“Untuk berkomunikasi dengan mereka, saya dan isteri perlu menunjukkan isyarat atau menggunakan bahasa badan,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Sehubungan itu, dia berharap orang ramai atau mereka yang mempunyai kepakaran mengubati penyakit mental agar tampil membantu merawat anak-anaknya.

Sementara itu, Rahmat memberitahu, akibat kemiskinan, dia sekeluarga terpaksa hidup dalam serba kekurangan dan mendiami rumah pusaka yang usang sejak lebih 20 tahun lalu.

Menurutnya, pendapatannya kira-kira RM500 sebulan tidak mencukupi untuk membaiki dinding rumahnya yang reput dan atap bocor.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Rahmat boleh menghubunginya melalui 013-572 5256 atau mengunjungi rumahnya di Kampung Bintawa Tengah.


2014


No comments

Powered by Blogger.