Tiga beradik terpaksa berkongsi beg sekolah kerana terlampau miskin


Satu beg sekolah dikongsi tiga beradik. Itulah realiti yang terpaksa ditempuhi tiga beradik di sini apabila terpaksa berkongsi beg sekolah berikutan masalah kemiskinan yang dialami keluarganya.

Selain terpaksa berkongsi beg sekolah, pelajar tingkatan lima, tiga dan dua itu juga sudah ralit hidup berpindah randah selepas keluarganya tidak mampu bayar sewa rumah.

Ibu mereka, Sarina Che Omar Saad, 42, berkata, sehingga kini sudah lebih 10 rumah disewa, namun tidak pernah tinggal lebih dari tiga bulan.

Menurutnya, kebanyakan tuan rumah akan menyuruh mereka sekeluarga keluar apabila tidak mampu membayar sewa selama sebulan.

Sarina berkata, walaupun perit, namun mereka tujuh beranak tiada pilihan lain kerana hanya bergantung dengan pendapatan suami, Roslan Zainal, 49, yang bekerja buruh.

Menurutnya, dengan pendapatan antara RM500 sehingga RM600 sebulan hanya cukup untuk menampung kos perbelanjaan keluarga dan persekolahan anaknya.

"Kami memang tidak mampu bayar sewa rumah.

"Selain berkongsi beg, baju sekolah anak juga hanya ada sepasang seorang," katanya yang mempunyai lima anak.

Katanya yang kini menyewa di Kampung Santan, Mata Ayer, di sini, sejak tiga tahun lalu, kali ini mereka bernasib bernasib baik kerana tuan rumah sangat baik walaupun sudah enam bulan tidak bayar sewa.

Sarina berkata, sebelum ini suaminya pernah menjadi tukang besi tetapi ramai pula yang berhutang sehingga gagal mendapat keuntungan.

Tambahnya, sebelum ini, mereka sekeluarga ada ditawarkan bantuan rumah yang akan dibina di atas tanah peninggalan keluarganya di Jejawi, Arau, namun itu adalah tanah sawah.

"Pihak Majlis Perbandaran Kangar ada datang untuk melihat tapak bagi bantuan rumah tetapi pembinaannya ditangguhkan kerana kami masih tidak mampu menambun tanah di sawah tersebut.

"Saya sangat berharap ada pihak dapat membantu kami menambun tanah di kawasan itu," katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu keluarga Sarina boleh hubungi 012-5143140.

30/10/2015



No comments

Powered by Blogger.