Penganggur didakwa bunuh ibu sendiri


Seorang penganggur yang sebelum ini dilaporkan menetak ibunya sendiri sampai mati ketika di bawah pe­ngaruh dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh wanita berkenaan minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Rahmat Shahir Rashdan Shakir, 23, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu itu kemudian berkata: “Saya tiada niat.”

Mengikut pertuduhan, Rahmat Shahir yang merupakan anak tunggal didakwa membunuh Halimaton Katan, 49, di 2B-01-08, Blok B, Menara Jade, Bukit Indah di sini antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi pada 4 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.


No comments

Powered by Blogger.