Wanita pesakit mental mati rentung dalam kebakaran


Wanita yang juga pesakit mental ditemui rentung selepas kediamannya terbakar di Kampung Rimba Terjun di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, Rohani Abd Rahman, 61, ditemui rentung dalam sebuah bilik di rumah papan beratap zink di Lorong Sayang dekat kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, pihaknya ke lokasi kejadian kira-kira 9 malam, selepas menerima maklumat kejadian rumah terbakar itu sebelum dimaklumkan penemuan mayat rentung berkenaan oleh pasukan bomba dan penyelamat yang menjalankan operasi memadam kebakaran.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati rumah mangsa terletak di hujung lorong berkenaan dan tiada rumah lain di sekelilingnya.

"Ketika kejadian, mangsa tinggal seorang diri di rumah kerana ahli keluarganya pergi ke Johor Bahru.

"Mangsa tinggal bersama kakak dan abang iparnya," katanya.

Zakaria berkata, punca kebakaran dan kematian mangsa masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pontian untuk dibedah siasat.

Sementara itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru diketuai Komander Operasi Rohaizat Hamdan bersama lima anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.06 malam.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian menjalankan operasi memadam kebakaran sebelum menemui mayat mangsa rentung di dalam bilik rumah itu.

Operasi memadam kebakaran ditamatkan pada 10.03 malam.

No comments

Powered by Blogger.