Warga emas maut motosikal bergesel lori


Warga emas maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditungang bergesel dengan lori di Simpang Batu 10, Jalan Tanjung Tualang di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, Chong Kam Lam, 69, yang membonceng motosikal maut di wad kecemasan Hospital Batu Gajah akibat parah selepas digilis lori berkenaan manakala penunggang motosikal, Wong Ah Kau, 71, parah di kedua-dua bahagian kaki.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu lori berkenaan keluar dari Simpang Batu 10, Jalan Tanjung Tualang dan membelok ke sebelah kanan jalan itu.

Katanya, ketika membelok di simpang berkenaan, lori berkenaan bergesel dengan mangsa yang berada di sebelah kiri lori terbabit sehingga menyebabkan kedua-dua jatuh dari motosikal.

“Kedua-dua mangsa jatuh daripada motosikal dan berada di bawah lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Nasri berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan namun seorang daripada mereka meninggal dunia, 12.45 tengah hari.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 65 tahun ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan lengkap.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


No comments

Powered by Blogger.