Gadis ada ijazah terpaksa jual kipas terpakai di pasar malam
Seorang graduan universiti layak digelar ‘Dr Kipas’ apabila memilih kerjaya membaiki dan menjual kipas di pasar malam sebagai sumber pendapatan utama berbanding bekerja di sektor korporat.
Nur Asyifa Ajis, 25, yang berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, itu tidak kekok dilihat berpanas dan berhujan di tapak pasar malam unuk menjual kipas angin terpakai yang dibaiki.
Nur Asyifa yang ditemui di rumahnya di Kampung Lahar Ikan Mati, di sini, semalam mengakui ramai yang pelik dan bingung dengan tindakannya tidak memilih bekerja di syarikat terkemuka biarpun mempunyai segulung ijazah.
“Antara soalan yang sering ditanya kepada saya ialah sama ada saya tak malu kerja menjual kipas biarpun belajar tinggi,” katanya.
Dia berkata, selepas tamat pengajian di UiTM, dia terus bekerja membaiki kipas yang rosak sebelum menjualnya di pasar malam sekitar Kepala Batas dan Kota Kuala Muda, Kedah.
“Walaupun dilihat sebagai wanita yang lemah lembut dan sopan santun, saya tidak malu dengan apa yang saya lakukan ini,” katanya.
Bercerita lebih lanjut, Nur Asyifa mengakui kerana minat, dia lakukan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan tetapnya.
Selepas membaiki kipas rosak dibeli daripada orang awam dengan harga RM5 hingga RM20, dia menjualnya dengan harga sekitar RM38 hingga RM150 mengikut jenis dan saiz kipas.
“Ada antara kipas dibeli di Alor Pongsu, Perak, Kepala Batas dan sekitar Kedah sebelum dibawa balik ke bengkel dibaiki dan selepas siap baiki dan cuci, saya menjualnya di pasar malam Sungai Dua, Kuala Muda, Penaga dan Kota Kuala Muda, Kedah.
Leave a Comment