Gadis mangsa simbahan asid masih menanggung azab sakit dan seksanya
Tarikh 24 Ogos 2015 lalu menjadi detik hitam bagi dua sahabat karib selepas disimbah asid oleh seorang penunggang motosikal tidak dikenali ketika berjalan pulang ke rumah mereka di Taman Setapak Jaya, dekat sini.
Mangsa, Nurul Umira Azali, 22, dan Nur Farziana Hussein Hasnor Harry, 22, kini hidup dalam kesengsaraan apabila terpaksa menanggung kesakitan selepas hampir keseluruhan badan mereka melecur teruk.
Menurut Nurul Umira, mereka kini memerlukan rawatan perubatan bagi memastikan kehidupan kembali normal.
“Kami perlu mendapatkan rawatan di hospital setiap minggu. Setakat ini kami telah menjalani pembedahan sebanyak empat kali dan pembedahan seterusnya di bahagian mata dan tangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Kisah mereka turut menjadi ‘viral’ di laman sosial dan ramai yang bersimpati dengan nasib dua sahabat itu, malah pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut.
Menurutnya, rawatan yang dijalankan memerlukan kos yang tinggi, selain doktor mengesahkan tempoh untuk pulih memakan masa bertahun-tahun.
Turut berkongsi perasaan Nur Farziana. Katanya, kecederaan serius di muka, kepala, mata dan tangan membuatkan dia tidak dapat menutup kelopak mata sepenuhnya.
“Saya merasakan kulit bagaikan ditarik-tarik dan amat sakit,” katanya dengan nada sedih. Sementara itu, ibu Nurul Umira, Noor Aishah Kasim, 48, berkata, dia berharap pihak berkuasa dapat membawa pesalah terbabit ke muka pengadilan.
“Sebagai ibu jauh disudut hati mahu melihat Nurul Umira dan Nur Farziana kembali pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Dalam masa sama dia turut berharap ada pihak yang sudi menghulur sumbangan bagi menanggung kos perubatan Nurul Umira dan Nur Farziana selain memberi sesi kaunseling kepada dua sahabat ini yang masih trauma dan takut.
Orang ramai yang bersimpati boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 162254768386 atas nama Nur Farziana.
- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -
Harapan dua wanita ini untuk pulih akan menjadi nyata selepas melalui puluhan pembedahan yang perlu dilaksanakan secara berperingkat.
Proses pembedahan itu yang menelan belanja besar bergantung kepada dana sumbangan orang ramai berikutan kedua-duanya sudah tidak boleh bekerja.
Mangsa simbahan asid, Nurul Umira Azali, 23, selamat menjalani pembedahan rekonstruktif di bahagian leher dan muka Rabu lalu di Pusat Perubatan Beverly Wilshire, di sini, dengan kos RM13,000.
Proses pembedahan itu yang menelan belanja besar bergantung kepada dana sumbangan orang ramai berikutan kedua-duanya sudah tidak boleh bekerja.
Mangsa simbahan asid, Nurul Umira Azali, 23, selamat menjalani pembedahan rekonstruktif di bahagian leher dan muka Rabu lalu di Pusat Perubatan Beverly Wilshire, di sini, dengan kos RM13,000.
Sebelum ini, Nurul Umira dan Nurfarziana Hussein Hasnor Harry, 23, kedua-duanya melecur teruk di muka, kepala dan badan selain menderita tidak lena tidur, trauma, tidak boleh terkena cahaya matahari selain kecacatan lain yang berkemungkinan mengambil masa enam tahun untuk pulih selepas terkena simbahan asid oleh orang tidak dikenali, setahun lalu.
Nurul Umira berkata, pembedahan itu perlu dilakukan kerana mulutnya sudah turun ke bawah akibat tarikan kulit.
“Doktor mengambil masa selama lima jam untuk membuang kulit terkena asid dan menampalnya kembali menggunakan kulit di perut.
“Hanya Allah mengetahui kesakitan dirasai, namun saya perlu kuat meneruskan hidup dan menjalani lagi baki pembedahan yang mungkin memakan masa enam tahun untuk pulih sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Menurutnya, pembedahan itu tidak berakhir di situ, mereka perlu menjalani pembedahan lain bahagian demi bahagian yang terjejas teruk.
“Pembedahan plastik membabitkan kos yang besar disebabkan itu kami memerlukan dana daripada orang ramai berikutan tidak boleh bekerja,” katanya.
Sementara itu, Nurfarziana pula memerlukan perbelanjaan RM10,000 untuk merawat parut di wajah buat masa ini.
“Bagaimanapun, selepas berbincang, kami bersetuju untuk Nurul Umira menjalani pembedahan terlebih dulu berikutan keadaannya makin teruk,” katanya.
Katanya, setiap hari mereka berdoa supaya Allah SWT tunjukkan wajah orang yang menganiaya mereka sehingga cacat begitu.
“Setiap hari kami berdoa supaya Allah menunjukkan wajah pelaku berkenaan dan semoga dia menyerah diri kepada polis.
“Kami percaya doa orang teraniaya akan dimakbulkan Allah, bagaimanapun kami reda dengan ujian ini walaupun masa depan kami gelap,” katanya.
Leave a Comment