Masih seperti bayi walaupun sudah berumur 4 tahun


Sekiranya kanak-kanak lain sudah mampu berlari dan diberikan pendidikan awal ketika menginjak usia 4 tahun, namun berlainan dengan seorang ‘anak syurga’ bernama Muhammad Hazim Muhaimin Muhamad.

Anak bongsu daripada 10 beradik itu masih kelihatan seperti bayi dengan berat cuma 3.8 kilogram (kg).

Ibunya, Zainab Salim, 49, berkata, anaknya itu disahkan menghidap sindrom 'Cornelia de Lange’ setelah dilahirkan dan jangkaan awal doktor anaknya itu hanya dapat bertahan empat hari.

“Selain lahir tak cukup bulan, semasa dalam kandungan, doktor maklumkan anak saya ini ada masalah.

Saya serta suami, Muhamad Embong, 58, telah bersedia menerima apa jua keadaan dan ketika dilahirkan beratnya hanya 1.5kg.

“Selama 49 hari dia berada di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bagi dapatkan rawatan memandangkan paru-parunya begitu lemah selain tidak cukup berat.

“Berikutan sindrom tersebut, tumbesarannya tidak seperti kanak-kanak seusia. 

Dia tidak ubah seperti bayi meskipun kini berumur 4 tahun, dia juga tidak dapat bercakap dan hanya mampu menangis jika lapar.

“Anak saya ini tidak minum susu botol, sebaliknya guna tiub. 

Setiap tiga jam sekali perlu diberikan susu lebih kurang 80 mililiter. 

Setiap dua minggu pula, tiub perlu ditukar bagi elakkan kuman,” katanya.

Tambah Zainab, anak syurganya itu perlu mendapatkan rawatan susulan setiap enam bulan di HSNZ termasuk pada 8 Januari tahun depan dan paru-paru anaknya juga semakin beransur kuat tidak seperti dilahirkan dulu.

“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kehidupan bakal kami sekeluarga lalui tanpa Muhammad Hazim Muhaimin kerana kasih sayang begitu menggunung. 

Sebagai ibu, saya tidak putus berdoa agar anak saya ini dipanjangkan umur.

“Meskipun dia tidak dapat membesar secara normal, tetapi saya harap usianya dipanjangkan. 

Mengikut ramalan doktor, anak saya dapat hidup sehingga lima tahun sahaja, tapi saya percaya keajaiban akan berlaku berkat doa yang tidak pernah putus.

“Ketika dilahirkan, doktor ramal anak saya ini dapat hidup dalam tempoh empat hari berikutan keadaannya ketika itu. 

Alhamdulillah, dia masih dipanjangkan umur. 

Saya harap keajaiban akan terus berlaku, semoga anak saya ini panjang usia,” katanya.

Kata Zainab lagi, selain naluri sebagai ibu yang memberi kekuatan bagi menjaga anak istimewanya itu, dia juga mendapat suntikan semangat daripada ibu bapa yang turut mempunyai anak menghidap sindrom sama.

“Saya tidak bersendirian, sebaliknya ramai lagi ibu bapa lain melalui pengalaman sama, malah ada antara anak mereka lebih serius keadaannya berbanding Muhammad Hazim Muhaimin. 

Semua itu berikan saya kekuatan.

“Anak keempat saya juga dilahirkan tidak cukup bulan dengan berat cuma satu kilogram dan membesar secara normal. 

Namun, anak bongsu ini ALLAH ingin menguji saya serta suami dengan menghadiahkan kami ‘anak syurga’ ini,” katanya.


No comments

Powered by Blogger.